Kelab Kebajikan Pusat Pengajian Komputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menganjurkan Majlis Potluck pada 26 November 2024 bertempat di Taman Botani, UUM. Acara santai ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan staf SOC sambil menikmati pelbagai juadah istimewa.
Majlis yang bermula pada jam 9.00 pagi itu dihadiri oleh staf akademik dan pentadbiran SOC. Setiap peserta membawa hidangan masing-masing, menjadikan potluck ini kaya dengan kepelbagaian menu, termasuk gulai ikan "Semerbak Kak J," asam pedas "Berbisa Dr. Azizi," lokching "Dihatiku UUM CAS," spaghetti "Dari Mata Turun Ke Hati " oleh Prof. Madya Dr. Mohd Hasbullah bin Omar, roti canai “Andai Tiada Dia” oleh Dr. Baharudin Osman serta pelbagai lagi juadah dan pencuci mulut yang menggamit selera.
Meskipun cuaca hujan, suasana tetap ceria apabila semua tetamu menikmati hidangan dengan penuh rasa kebersamaan.
Menurut Pengerusi Kelab Kebajikan SOC, Dr. Amran Ahmad, majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk bersantai tetapi juga sebagai platform untuk menghargai usaha keras staf sepanjang semester. "Majlis ini adalah tanda penghargaan dan sebagai satu cara untuk kita saling menghargai, di samping mengeratkan silaturahim dalam suasana penuh harmoni," katanya.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenangan serta ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan acara ini.