Oleh: Prof. Madya Dr. Mazni Omar
Gambar oleh: Pasukan Penyelidik Erasmus GeoDRR
CHANGLUN, 8 Disember 2024: Pasukan penyelidik Erasmus GeoDRR dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan misi menyantuni penduduk Kampung Paya Nongmi dan Kampung Paya Lantau yang terjejas akibat banjir, baru-baru ini.
Delegasi pasukan penyelidik ini diketuai oleh Prof. Dr. Huda Ibrahim bersama ahli penyelidik serta pelajar Sarjana Sains Geoinformatik untuk Pengurangan Risiko Bencana (MSc. GEODRR) dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) menawarkan kepakaran dalam menganalisis punca banjir dan memberikan cadangan berdasarkan data serta analisis.
Dr. Huda berkata, inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memberikan sokongan moral kepada penduduk yang terkesan, tetapi juga untuk memahami cabaran yang mereka hadapi dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang.
Perbincangan bersama komuniti membuka ruang untuk mengenal pasti cabaran utama yang dihadapi akibat banjir dan mengenalpasti isu-isu yang menyumbang kepada peningkatan risiko bencana di kawasan tersebut.
Hasil analisis dapat membantu merangka polisi pengurusan banjir yang lebih berkesan, termasuk langkah-langkah mitigasi untuk mengurangkan risiko kejadian serupa pada masa hadapan terutamanya di daerah Kubang Pasu.
Perbincangan ini turut menekankan pendekatan ‘quadruple helix’ yang melibatkan kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan, komuniti, dan pihak industri.
Setiap pihak dapat memainkan peranan penting dalam merangka penyelesaian yang mampan bagi mengurangkan risiko banjir pada masa hadapan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen UUM dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta menangani cabaran global seperti perubahan iklim dan pengurusan bencana dengan pendekatan yang lebih holistik dan berimpak tinggi.
Program ini turut disertai oleh Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhamad Mahazi Ibrahim; Penghulu Mukim Laka Selatan, Ariffudin Ibrahim; Penghulu Mukim Temin, Muhamad Riduan Ismail serta penduduk kampung.