Berita Nik Suryani Megat Deraman
PUTRAJAYA, 30 November – Inkubator Disleksia Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi perhatian dalam Festival Idea Putrajaya 2024 dengan produk inovasi inklusif pendidikan khas untuk kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran seperti disleksia, diskalkulia, dan disgrafia.
Diwakili oleh Prof. Madya Dr. Husniza Husni dan Dr. Nurul Izzah Abdul Aziz, Inkubator Disleksia berjaya menawarkan pendekatan pendidikan yang mesra dan inklusif untuk kanak-kanak istimewa ini dengan membangunkan produk inovasi berasaskan teknologi seperti manipulatif pembelajaran Papan Sintok dan Slide&Read, perisian BacaDisleksia 2.0 dan teknologi antaramuka pengguna nyata (tangible user interfaces), Tangibell yang interaktif dan menarik.
Teknologi Pendidikan Khas yang Inklusif
Inkubator Disleksia juga menerbitkan beberapa naskah buku, termasuklah buku teks dan modul pembelajaran, yang diubah suai daripada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk membantu kanak-kanak memahami subjek seperti Sains dan Bahasa Melayu, antaranya seperti berikut:
1. Dunia Sains & Teknologi – Menggunakan grafik menarik dan teks minimalis yang direka bentuk secara khusus bagi memudahkan pemahaman konsep sains asas melalui aktiviti eksperimen dan pembelajaran dengan efektif.
2. Bahasa Melayu untuk Disleksia – Menekankan fonetik dan pendekatan langkah demi langkah untuk membantu kanak-kanak mengenal huruf, membaca, dan menulis.
Selain itu, modul pengajaran dan pembelajaran juga turut dihasilkan bagi mengoptimumkan penggunaan manipulatif pembelajaran seperti Papan Sintok dan Slide&Read dengan mengkayakan interaksi dalam konteks yang kreatif dan interaktif untuk meningkatkan kemahiran motor halus dan sosial pelajar.
Pengiktirafan Menteri Pendidikan Tinggi
Semasa lawatan ke pameran Inkubator Disleksia di Festival Idea Putrajaya, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, memuji usaha dan komitmen UUM dalam memperkasakan pendidikan khas.
“Inkubator Disleksia adalah contoh terbaik bagaimana universiti dapat menyumbang kepada masyarakat melalui inovasi pendidikan. Modul dan program mereka sangat berdaya saing dan harus dijadikan rujukan untuk pembangunan pendidikan inklusif di Malaysia,” katanya.
UUM Komited Ketengahkan Produk Inovasi
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, turut menyatakan komitmen universiti untuk mengetengahkan produk inovasi seperti Inkubator Disleksia.
“Inkubator Disleksia membuktikan bahawa pendidikan tinggi mampu menjadi pemangkin perubahan sosial. Kami di UUM akan terus menyokong dan mengembangkan produk ini supaya dapat memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat,” katanya.
Daripada R&D Dan Inovasi Kepada Sokongan Kepada Murid Dan Ibu Bapa
Selain itu, Inkubator Disleksia juga menjadi platform penghubung antara R&D dan inovasi kepada komuniti secara langsung di mana kelas intervensi khusus dikendalikan dengan kerjasama Persatuan Disleksia Malaysia (Cawangan Sg Petani).
Di Inkubator Disleksia UUM, hasil R&D dan inovasi digunakan dalam sesi intervensi khusus bersama murid yang datang belajar di situ.
Tujuannya adalah agar hasil R&D dan inovasi tidak hanya mati di jurnal dan penerbitan ilmiah lain tetapi dapat terus dinikmati oleh komuniti dan bermanfaat dalam usaha memberikan sumbangan sosial kepada mereka yang memerlukan.
Inkubator ini turut menyediakan bengkel intervensi untuk membimbing ibu bapa menyokong pembelajaran anak mereka, selain sesi perkongsian pengalaman dan bahan pembelajaran yang boleh digunakan di rumah.
Harapan Masa Depan untuk Kanak-Kanak Istimewa
Prof. Madya Dr. Husniza Husni dan Dr. Nurul Izzah Abdul Aziz berharap usaha ini dapat memberi peluang kepada kanak-kanak dengan masalah pembelajaran untuk mencapai potensi mereka.”Kami mahu memastikan kanak-kanak ini menerima pendidikan yang setara, menyeronokkan, dan tidak rasa terpinggir dalam usaha membantu mereka menggapai cita-cita dan kejayaan,” katanya.
Dengan sokongan kerajaan dan universiti, Inkubator Disleksia kini menjadi simbol harapan kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang memerlukan pendekatan pendidikan khas.
Festival Idea Putrajaya 2024 menjadi platform penting untuk memperkenalkan inovasi ini kepada khalayak lebih luas, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
–THE MALAYA POST