UUM Sintok, Kedah – Pada 10 November 2024, Forum Revolusi Pemasaran Berpandukan AI yang dinanti-nantikan telah berjaya diadakan, menghimpunkan hampir 200 peserta yang terdiri daripada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) telah berlangsung di Dewan Seminar CAS, UUM Sintok. Forum ini menjadi platform bagi pemimpin industri dan profesional pemasaran untuk membincangkan masa depan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pemasaran. Forum ini dipengerusikan oleh Encik Mohd Rushdi Idrus, pensyarah kanan SOC bagi memimpin perbincangan bersama industri.
Acara ini menampilkan penceramah jemputan terkemuka, iaitu Puan Nisa Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital, dan Encik Mohd Azad Jasmi, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad. Kedua-dua mereka berkongsi pandangan berharga mengenai transformasi landskap pemasaran dengan penerapan AI serta peluang dan cabaran yang perlu dihadapi oleh perniagaan dalam era digital.
Puan Nisa Ismail menekankan peranan penting AI dalam memperibadikan pengalaman pelanggan dan memperkukuh strategi pemasaran, manakala Encik Mohd Azad Jasmi berkongsi pandangan mendalam mengenai penggunaan pendekatan berasaskan data untuk mengoptimumkan operasi perniagaan dan memacu pertumbuhan.
“Perbincangan yang berlangsung sangat dinamik. Perspektif yang dikongsi memberikan pencerahan tentang potensi transformasi AI dalam pemasaran,” ujar salah seorang peserta forum.
Acara ini mendapat sambutan hangat daripada para hadirin, yang pulang dengan pemahaman lebih mendalam tentang cara memanfaatkan alat dan inovasi AI untuk memperkasakan usaha pemasaran mereka.
Pada penghujung forum, kedua-dua penceramah jemputan turut mengadakan kunjungan hormat bertemu Penolong Naib Canselor CAS, Profesor Dr. Osman Ghazali, yang juga merupakan Dekan SOC. Perbincangan tersebut melibatkan perancangan kerjasama dan kolaborasi masa depan antara kedua-dua syarikat dan SOC pada tahun hadapan.