Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Dr. Mohd Raime Ramlan
NEPAL – TIBET: Runtuhan batu gunung, suhu sejuk mencecah 1 darjah Celsius, laluan sempit berhampiran lereng gunung, dan cuaca buruk benar-benar mencabar adrenalin pendaki Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pensyarah kanan Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Dr. Yurita Yakimin Abdul Talib berkata, pendakian sejauh 65 kilometer menuju ke EBC bukanlah satu misi yang mudah dan memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi dalam kalangan setiap peserta.
“Cuaca tidak menentu menjejaskan penerbangan pesawat kecil ke Lukla. Akibatnya kami terpaksa menggunakan jalan darat dengan menaiki van dari Katmandu ke Ramechhap yang memakan masa 5 jam untuk jarak perjalanan sejauh 130 kilometer.
“Jadi kami terpaksa bermalam di Ramechhap sebelum menaiki penerbangan ke Lukla keesokan harinya,” katanya.
Trek pendakian ke EBC bermula dari Lukla, sebuah perkampungan di Nepal yang terkenal sebagai pintu masuk utama ke kawasan Taman Negara Sagarmatha yang menjadi lokasi Gunung Everest.
Dari Lukla, peserta melalui banyak perkampungan seperti Phakding, Namche Bazaar, Tengboche yang terkenal dengan biara (monastery) tertinggi di Nepal, Deboche, Pangboche, Dingboche, Lobuche dan Gorakshep.
“Setiap hari, peserta perlu berjalan antara 6 hingga 8 jam melalui jalan berbatu dan mendaki lereng gunung yang mencabar.
“Semangat berpasukan yang tinggi serta kecekalan mental menjadi faktor utama kejayaan misi ini. Setiap peserta memainkan peranan penting memberikan sokongan moral kepada rakan-rakan sepanjang perjalanan.
“Misi ini melambangkan kekuatan warga UUM dalam menghadapi cabaran ekstrem, dan juga memberikan pengalaman berharga kepada peserta dalam mengharungi rintangan yang tidak dijangka di satu daripada trek pendakian paling mencabar di dunia,” luahnya.
Beliau sebahagian daripada kumpulan pendaki yang diketuai Dr. Mohd Raime Ramlan bersama Prof Madya Dr. Azharudin Ali dari TISSA-UUM, Dr. Amirul Faiz Osman dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Mohd Tarmizi Musa, Dr. Hapini Awang (SOC), Dr. Nur Suhaili Mansor dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Hashim Musa (JPPI) serta pesara UUM, Chek Derashid dan Mohd Diah Hamdan.
Mohd Raime berkata, bersempena sambutan ulangtahun ke-40 Universiti Utara Malaysia (UUM), Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) menganjurkan Misi Mendaki Everest Base Camp (EBC) 2024.
“Saya perlu pastikan misi mengibar bendera UUM di EBC dapat direalisasikan dan semua peserta tiba di EBC dengan selamat tanpa sebarang kecederaan serius. Justeru, saya sentiasa memantau perjalanan trip dan kerap berkomunikasi dengan jurupandu sepanjang tempoh pendakian. Kadar oksigen setiap peserta diperiksa setiap hari bagi memastikan semua peserta berada dalam keadaan yang baik dan dapat meneruskan pendakian ke hentian berikutnya.
“Pada saya, selamat tiba di EBC itu merupakan satu pengalaman berharga kerana tidak semua pendaki berpeluang dan berjaya tiba di EBC. Ada yang terkandas disebabkan faktor cuaca buruk termasuk tiada penerbangan khususnya ke Lukla.
“Malah ada pendaki tidak berjaya tiba di EBC kerana mengalami penyakit Akut Gunung@Acute Mountain Sickness. Pendaki tiada pilihan lain dan terpaksa turun ke kawasan lebih rendah. Dalam kes AMS yang serius, pendaki terpaksa turun menggunakan helikopter dan perlu mendapat rawatan di hospital di Kathmandu. Mujurlah semua ahli kumpulan kami selamat.
“Di sini, tiada kenderaan bermotor sepanjang trek EBC bermula dari Lukla. Semua barang-barang diangkut oleh porter atau menggunakan haiwan seperti yak dan kaldai. Boleh juga menggunakan perkhidmatan helikopter, namun kosnya lebih mahal,” kongsinya.
Selain itu beliau kagum melihat kemahiran warga tempatan dalam membina rumah kediaman, rumah tetamu (guest house), dan bangunan bertingkat menggunakan batu. Hasil kerja sangat kemas, batu-batu dipotong membentuk dinding menampilkan reka bentuk yang unik.
Sementara itu, staf Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), Hashim Musa teruja menyaksikan keindahan Gunung Everest dan banjaran gunung Himalaya sekali gus membuktikan kekuasaan Allah.
“Seronok melihat tempat orang sambil mengenali adat budaya dan cara hidup mereka yang unik, bak kata pepatah jauh berjalan, luas pandangan.
“Sejak kecil lagi memang teringin tengok Everest, dulu tengok dalam gambar sahaja. Alhamdulillah, berjaya sampai dan dapat tengok depan mata tentang kebesaran Tuhan yang amat mengagumkan, memang sangat menakjubkan!
Mengulas lanjut, beliau juga tidak dapat melupakan pengalaman ketika menaiki pesawat di Lapangan Terbang Lukla.
“Ketika bersiap sedia menaiki pesawat dari Lukla ke Ramechhap, jantung berdegup kencang, terasa sangat mendebarkan dan mencemaskan.
Apa tidaknya, Lapangan Terbang Lukla merupakan lapangan terbang paling berbahaya di dunia. Di sini, juruterbang perlu bijak mengawal pesawat ketika berlepas dan mendarat kerana landasannya sangat pendek, iaitu kurang 400 meter. Selain itu, kedudukannya di ketinggian 2,800 meter dari paras laut juga menyebabkan penerbangan terdedah kepada angin kencang dan kabus tebal. Justeru, penerbangan kerap dibatalkan khususnya ketika musim monsun akibatkan cuaca buruk dan faktor keselamatan.
Pendakian kali ini menjadi momen indah kepada peserta kerana berdepan dengan 1001 cabaran yang menguji kekuatan fizikal dan mental. Selain peserta perlu menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk, pendakian di altitud tingi juga sangat mencabar kerana kadar oksigen semakin berkurangan khususnya ketika pendakian melebihi 4,000 meter. Situasi ini menyebabkan peserta cepat merasa letih kerana perlu menggunakan tenaga yang lebih.
Selain cabaran pendakian, peserta turut menghadapi situasi di luar jangkaan apabila terkandas selama empat hari di Lukla dan Ramechhap akibat cuaca buruk. Walaupun menghadapi banyak rintangan dan situasi luar jangka, namun peserta kekal fokus dan tenang. Alhamdulillah, akhirnya semua peserta berjaya pulang dengan selamat ke tanah air dan misi EBC UUM 2024 menjadi kenyataan.