NEWS

School of Computing

Bengkel Perniagaan Secara Kreatif Melalui Media Sosial Siri 2: Dari Yan ke Sabah dan Sarawak

AIUFULL

Oleh: Prof. Madya Dr. Yuhanis Yusof

YAN: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Albukhary International University (AIU) telah bekerjasama menganjurkan Bengkel Perniagaan Secara Kreatif Melalui Media Sosial Siri 2 di Masjid Jame’ Badlishah, Yan, baru-baru ini.

Bengkel ini telah dihadiri oleh 31 peserta yang merupakan penduduk dan usahawan kecil di sekitar Daerah Yan dan merupakan kesinambungan dari bengkel siri 1 yang telah diadakan pada Januari lalu.

Bengkel pemindahan ilmu pengetahuan dan kepakaran ini merupakan satu program komuniti yang dianjurkan dibawah geran kerjasama penyelidikan diantara penyelidik UUM dan AIU berkaitan “Digital Opportunities for Socio Economics Empowerment of B40 Entrepreneurs”.

Objektif bengkel adalah untuk membantu meningkatkan kemahiran pemasaran digital para usahawan yang ingin menggunakan media sosial bagi memasarkan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Bagi bengkel siri 2 ini, peserta telah dilatih untuk bagaimana menjana, mengembangkan, mempromosi dan menambahkan lagi sumber pendapatan melalui platform media sosial yang popular iaitu TikTok serta berpeluang mempelajari cara menggunakan perisian CapCut untuk menyediakan kandungan media sosial.

Peserta, Asma Najihah berkata, bengkel ini memberi impak yang tinggi kepada kebolehlihatan perniagaan dan peningkatan penjualan perniagaan beliau.

Menurutnya, sebelum ini, pelanggan beliau hanya di sekitar Yan, Gurun dan Sungai Petani tetapi dengan pengetahuan yang diperolehi dari bengkel ini, perniagaan beliau sudah berkembang ke seluruh Semenanjung Malaysia sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Peserta bengkel juga telah dibekalkan dengan modul latihan yang berkenaan, di samping mendapat bimbingan praktikal dari penceramah dan fasilitator yang berpengalaman. Hasil penglibatan daripada semua pihak yang terlibat, bengkel ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Bengkel ini turut menerima lawatan dari Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dalam lawatan rasmi ke kawasan Yan.

Hadir sama, Penghulu Mukim Yan, Mokhairuddin Mahamad, Ahli Jawatankuasa Masjid Jame’ Badlishah Yan, penceramah, Ts. Sabrina Abdul Rahim; Ketua penyelidik UUM, Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad; ahli penyelidik UUM iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Maslinda Mohd Nadzir dan Prof. Madya Dr. Yuhanis Yusof; Ketua Penyelidik AIU, Prof. Madya Dr. Basheer Riskhan dan komuniti Yan.