NEWS

School of Computing

PENYERTAAN PENYELIDIK UUM KE INNOVATHON 2024 RANCAKKAN BUDAYA INOVASI TERKINI

innovathon

Oleh: Dr Mohd Aamir Adeeb Abdul Rahim

UUM ONLINE: Sebanyak tiga kumpulan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya melayakkan diri dalam Top 300 Innovators bagi Program Rancangan Realiti TV Inovasi (INNOVATHON) 2024 yang diadakan di Digital Penang.

Sesi saringan pemilihan secara dalaman seterusnya akan menentukan Top 56 yang akan bertanding di peringkat akhir. Peserta yang terpilih dijangka akan dimaklumkan pada hujung Julai atau awal Ogos ini.

Program anjuran Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Astro ini mengetengahkan idea dan hasil ciptaan teknologi dan inovasi kepada rakyat Malaysia umumnya dan potensi untuk mendapatkan pelaburan bagi produk inovasi tersebut.

Ketiga-tiga kumpulan UUM melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) telah menunjukkan komitmen dan kepakaran yang luar biasa dalam bidang masing-masing dan telah berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Kumpulan pertama yang diketuai oleh Prof. Madya Noraziah Che Pa bersama Pelajar, Laura Lim Sie Yi telah memperkenalkan produk mereka, Neuro-therapy: A Cognitive Therapy Tool for Elderly to Combat Memory Disorder. Produk ini adalah sebuah permainan teka-teki yang direka untuk terapi kognitif khususnya bagi warga emas yang mengalami masalah gangguan ingatan. Neuro-therapy menggabungkan elemen permainan digital, neurofeedback, dan intervensi psikoterapi untuk membantu memperkuatkan ingatan dan mengurangkan masalah gangguan ingatan.

Kumpulan kedua, yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Siti Noor Ismail dan Dr. Farah Mohamad Zain memperkenalkan Smart e-QIAS, alat pengukuran kualiti yang seragam untuk memantau dan meningkatkan kualiti pusat pendidikan awal kanak-kanak (PPAK). Inovasi ini dikembangkan sebagai solusi kepada masalah yang dihadapi oleh PPAK, termasuk kekurangan latihan untuk kakitangan dan kecuaian pengasuh yang boleh mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak. Smart e-QIAS adalah bertujuan untuk memastikan setiap pusat pendidikan mematuhi standard kualiti yang tinggi, meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Kumpulan ketiga diketuai oleh Dr. Mohammad Naim Abd Halim dan Prof. Madya Dr. Mat Nor Abu Niamat dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), mempertaruhkan SMART Paddy Soil Tester (SPST). Alat ini adalah penyelesaian komprehensif yang memberikan data tepat mengenai keadaan tanah padi, termasuk kelembapan dan suhu. SPST juga menggunakan teknologi awan untuk mengumpul maklumat dan memberikan cadangan analitik mengenai baja yang diperlukan, membantu petani untuk menghasilkan padi yang lebih sihat dan meningkatkan hasil pengeluaran mereka.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penyelidik atas inisiatif ini.

Beliau berharap UUM dan ICC adalah agar seluruh warga universiti akan diinspirasi oleh inisiatif tiga kumpulan yang telah melayakkan diri ke peringkat seterusnya dalam INNOVATHON 2024.

“Semoga lebih ramai penyelidik akan turut serta dalam program seumpama ini dan membawa idea, produk dan penyelesaian inovatif hasil penyelidikan mereka untuk menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi negara,” katanya.