NEWS

School of Computing

BANDAR PINTAR YANG LEBIH HOLISTIK

profhuda

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

UUM ONLINE: Bandar pintar dibangunkan untuk menyelesaikan isu kelestarian ke arah mencapai kestabilan ekonomi yang berdaya saing, alam sekitar yang mampan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Dalam Syarahan Pengukuhan Profesor 2024 "Smart City: A Digital Innovation from The Lens of Actor Network Theory" Prof. Dr. Huda Haji Ibrahim mengupas isu kelestarian dan pembangunan bandar dengan menawarkan gabungan unik antara teori dan aplikasi praktikal.

Jelasnya, bandar pintar ialah kawasan bandar yang menggunakan pelbagai jenis sensor pengumpulan data elektronik untuk membekalkan maklumat yang digunakan untuk menguruskan aset dan sumber dengan cekap.

Ujarnya, bandar pintar merupakan bandar yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam menangani isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan alam sekitar yang mampan dan selamat serta menggalakkan pengurusan bandar yang lebih cekap.

Beliau meneroka kuasa transformasi bandar pintar, di mana teknologi dan data meningkatkan kehidupan bandar selain menerangkan bagaimana bandar pintar mengintegrasikan sistem seperti pengangkutan, tenaga, penjagaan kesihatan dan tadbir urus untuk mewujudkan persekitaran yang cekap dan lestari.

Fokusnya untuk mengoptimumkan pengurusan tenaga, air dan sisa serta mengurangkan aliran trafik dan pencemaran dengan kenderaan elektrik dan mikromobiliti serta mengutamakan ruang hijau dan landskap yang mampan.

“Bila cakap pasal bandar pintar, terdapat gabungan teknologi di dalamnya seperti IoT, sensor, big data, dan cloud computing.

“Bandar pintar di Malaysia sejarahnya bermula dengan penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1996 yang membawa satu locatan pada negara untuk menjadi negara yang berdasarkan teknologi maklumat,” ujarnya di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, Universiti Utara Malaysia, pagi tadi.

Menurutnya, semasa fasa awalnya (1996-2004), MSC mencapai pencapaian penting, termasuk penubuhan undang-undang siber, menjadikan Cyberjaya sebagai bandar pengetahuan, dan menarik syarikat serta pekerja bertaraf dunia ke koridor tersebut.

Cyberjaya berfungsi sebagai model untuk pembangunan bandar pintar di Malaysia. Kemudian, pada 2019, konsep bandar pintar secara rasmi diperkenalkan di Malaysia melalui Kerangka Bandar Pintar Malaysia untuk mengubah Malaysia menjadi Negara Pintar menjelang tahun 2040, yang menekankan integrasi teknologi, kelestarian dan kesejahteraan.

“Usaha ini selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya menumpukan pada kesihatan dan kesejahteraan serta mewujudkan bandar yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan lestari,” katanya.

Projek bandar pintar biasanya dirancang dan dilaksanakan sebagai projek dari atas ke bawah oleh kerajaan pusat. Namun, menggunakan Actor-Network Theory (ANT), Huda memperkenalkan pendekatan dari bawah ke atas untuk menganalisis dan merancang bandar pintar yang baharu.

ANT melihat dunia sosial dan alam sebagai rangkaian hubungan, menawarkan rangka kerja yang komprehensif untuk memahami aspek sosio-teknikal projek bandar. Perspektif ini membolehkan analisis dan pelaksanaan inisiatif bandar pintar yang lebih holistik.