NEWS

School of Computing

INTERNET TERBUKA, DINAMIK, BOLEH DIAKSES

profsuhaidi

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid

UUM ONLINE: Dalam zaman serba canggih kita sering terdedah dengan pelbagai ancaman dan serangan siber yang semakin kompleks serta berubah mengikut evolusi semasa menyebabkan ramai di kalangan pengguna internet menjadi mangsa jenayah.

Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan berkata, dalam menjalani kehidupan, banyak masa kita dihabiskan dengan penggunaan internet.

“Mengikut kajian, sebanyak 5.3 bilion pengguna internet di seluruh dunia menghabiskan purata tujuh jam setiap hari melayari internet, selain menyaksikan setiap minit 625 juta tontonan video TikTok, 510,000 pos komen di aplikasi Facebook dan 6.3 juta melayari Google.

“Justeru pihak berkepentingan sewajarnya memastikan internet yang terbuka, inklusif, inovatif, dan selamat untuk semua orang dan boleh diakses tanpa sekatan,” ujarnya.

Jelasnya, internet terbuka berupaya memperkasakan komunikasi individu untuk berhubung, menjalin kerjasama global, memacu pembangunan mampan, menyokong ekonomi digital, memupuk inovasi serta menuju dunia yang adil, aman, dan sejahtera.

“Dalam mempromosikan internet terbuka kita perlu bekerjasama menggabungkan kekuatan dengan pelbagai pihak yang melibatkan kerajaan, sektor swasta, masyarakat dan komuniti teknikal, pengguna. Internet juga harus dipertahankan sebagai ruang terbuka dan demokratik yang membolehkan perkongsian ilmu, budaya, dan inovasi.

“Adalah penting untuk menggalakkan penggunaan internet tanpa diskriminasi, memastikan akses sama rata untuk semua data dan pengguna. Peranan organisasi global seperti ICANN, IGF, W3C dan IETF adalah penting untuk memastikan internet yang dinamik dan boleh diakses oleh semua orang tanpa mengira lokasi, bahasa, atau kepentingan.

“Kerajaan harus mengutamakan dasar yang menggalakkan internet terbuka, inklusif dan selamat sambil mengekalkan hak dan kebebasan digital,” ujarnya.

Internet yang inovatif pula menyokong penyelidikan dan pembangunan, menyumbang kepada penciptaan pekerjaan dan ekonomi, memupuk budaya inovasi, menggalakkan pemikiran kreatif dan memupuk keusahawanan melalui penerapan teknologi terkini, pembangunan platform digital yang inklusif, dan kolaborasi antarabangsa yang erat. Ini membolehkan pertukaran idea yang dinamik dan mempercepatkan transformasi digital untuk manfaat semua lapisan masyarakat.

“Penggiat industri harus melabur dalam teknologi internet yang inovatif dan beretika serta mengutamakan privasi dan keselamatan pengguna selain akademia menggalakkan penyelidikan dan inovasi.”

Beliau berkata demikian ketika Syarahan Pengukuhan Profesor 2024 “Shaping The Future Of The Internet We Want: Open, Inclusive, Innovative And Secure” yang berlangsung di Auditorium SoIS, Universiti Utara Malaysia, semalam.

Beliau menyifatkan syarahan ini sebagai satu detik besejarah bagi dunia akademiknya kerana bulan Februari merupakan Bulan Keselamatan Internet Sedunia selain Sambutan Hari Pengasasan UUM ke-40 Tahun.

Lebih mengujakan, Cyber Security Malaysia memilih program syarahan ini sebagai satu program sempena Hari Keselamatan Internet 2024.

Sempena Hari Keselamatan Internet 2024, beliau turut memberi nasihat tentang keselamatan siber yang meliputi aspek privasi dalam talian, keselamatan media sosial, ‘phishing’ dan keselamatan kata laluan.

“Untuk memastikan keselamatan media sosial, berhati-hati dengan apa yang anda sebarkan dalam talian dan siapa yang anda kenali.

“Bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan internet, berhati-hati dengan e-mel atau mesej teks yang tidak diminta dan jangan pernah klik pada pautan yang mencurigakan atau muat turun lampiran dari pengirim yang tidak dikenali.

“Untuk meningkatkan keselamatan kata laluan, gunakan kata laluan yang kuat dan unik untuk setiap akaun, aktifkan pengesahan pelbagai faktor dan elakkan berkongsi kata laluan dengan orang lain.

“Ingatlah untuk sentiasa memperoleh maklumat terkini tentang ancaman siber dan sentiasa mengambil nasihat pakar keselamatan siber untuk mengurangkan kemungkinan serangan siber,” pesannya.

 

Please publish modules in offcanvas position.