NEWS

School of Computing

SOC JADI RAKAN KOLABORASI JELAJAH ANTI SCAM KEBANGSAAN 2024 PERINGKAT NEGERI KEDAH

antiscamnews

Oleh: Noor Aina Norrdin
Gambar oleh: SOC

UUM ONLINE: Program Jelajah Anti Scam Kebangsaan (JASK) 2024 Peringkat Negeri Kedah telah berlangsung di Dewan Sri Negeri, Wisma Darul Aman selama dua hari bermula 26 Jun lalu.

Jelajah Anti Scam Kebangsaan merupakan cetusan idea Gabungan Bertindak Anti Scam (GBAS) yang dianggotai oleh Cybersecurity Malaysia, CelcomDigi Bhd., Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) serta beberapa agensi kerajaan, organisasi swasta termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan.

Program ini merupakan salah satu pengisian sambutan Hari Keselamatan Internet 2024 - Edisi Malaysia dengan tema "SIBER MALAYSIA MADANI" dan bagi meneruskan kesinambungan ini, pihak SOC mengambil inisiatif menjadi rakan kolaborasi program Jelajah Anti Scam Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah 2024.

Pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.

Dalam ucapan Tuanku mengingatkan masyarakat agar memandang serius jenayah siber dan sentiasa berhati-hati memilih platform yang dipercayai kerana ramai telah menjadi mangsa penipuan dalam talian.

"Dengan perkembangan pesat dalam dunia digital masa kini, kebergantungan masyarakat terhadap teknologi maklumat dan komunikasi adalah sangat tinggi.

"Hal ini menyebabkan penipuan kewangan dan scam turut muncul bagaikan cendawan sehingga penjenayah menggunakan pelbagai taktik untuk menipu daya mangsa dan menyamar sebagai anggota polis, pegawai mahkamah, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pegawai bank dan lain-lain,” titahnya.

Tuanku bertitah, pengguna juga harus sentiasa berwaspada ketika melakukan transaksi pembayaran atas talian.

"Dalam hal ini, kerahsiaan data mungkin sukar untuk ditentukan tetapi pengguna itu sendiri boleh memperkemaskan data peribadi di mana pengguna tahu data mereka digunakan untuk apa dan atas tujuan apa," titahnya.

Sementara Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi SOC telah mengendalikan sesi dialog dan forum JASK di mana Penolong Naib Canselor (PNC) UUM CAS merangkap Dekan SOC, Prof. Dr. Osman Ghazali dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), SOC, Prof. Madya Dr. Mohamad Fadli Zolkipli menjadi moderator.

Dr. Osman berkata, tujuan utama program ini adalah memberikan informasi dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang jenayah penipuan kewangan dan scam yang semakin berleluasa sehingga menggugat kesejahteraan dan pembangunan negara.

Menggulung sesi taklimat Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), beliau menjelaskan bahawa data dan maklumat peribadi yang dicuri atau diperolehi secara haram ini digunakan oleh penjenayah siber untuk melakukan serangan scam bagi mendapatkan keuntungan dalam jangka masa singkat.

"Semakin canggih kaedah yang mereka gunakan, semakin penting untuk kita mengetahui jenis-jenis ancaman yang terdapat dalam talian terutamanya bagi melindungi data peribadi kita sebagai individu," katanya.