NEWS

School of Computing

JICT MEMANTAPKAN PENGURUSAN MANUSKRIP DAN MENEROKA SKOP BARU YANG LEBIH RELEVAN

jict

Berita dan gambar oleh: Seksyen Jurnal, UUM Press

UUM ONLINE: SINTOK – Seiring dengan perkembangan pesat dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), jumlah serahan manuskrip oleh penulis kepada Journal of Information and Communication Technology (JICT) telah meningkat. Tren ini memerlukan pertambahan ahli sidang pengarang baharu untuk melancarkan proses penerbitan, mengurangkan beban tugas ahli sidang pengarang sedia ada serta melatih bakat baru dalam pengurusan jurnal berimpak. Justeru, satu bengkel pemantapan editorial JICT telah diadakan di EDC Hotel, UUM pada 11 Jun 2024 dan disertai oleh 12 ahli sidang pengarang sedia ada dan baharu serta pegawai Seksyen Jurnal UUM Press yang menguruskan JICT.

Bengkel ini dimulakan dengan latihan secara praktikal untuk menilai manuskrip dan memberikan laporan editorial kepada penulis untuk membuat penambahbaikan terhadap manuskrip sebelum diterima untuk diterbitkan dalam JICT. Sesi ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Yuhanis Yusof yang berpengalaman mengendalikan manuskrip berkaitan bidang kecerdasan buatan (AI). Seterusnya, Prof. Madya Ts. Dr. Norliza Katuk, Ketua Pengarang JICT memberikan pendedahan komprehensif mengenai peraturan penerbitan, prosedur operasi, dan penggunaan sistem Open Journal System (OJS) bermula dari penerimaan manuskrip sehingga setiap artikel di indeks di Scopus.

Dalam sesi terakhir bersama Editor Penasihat, Prof. Emeritus Dr. Ku Ruhana Ku Mahamud, JICT telah menghasilkan “Call for Submission” dengan tema penyelidikan trending serta menetapkan skop yang lebih relevan dan terkini, khususnya dalam era AI. Antara topik yang diberi tumpuan untuk terbitan akan datang adalah berkaitan dengan Blockchain, Human-Computer Integration, Social Media Analytics, dan Explainable AI.

JICT bertekad untuk terus meningkatkan mutu dan impak jurnal, serta memastikan proses penerbitan berjalan dengan lancar dan mengekalkan prestasi yang dicapai.

Layari http://jict.uum.edu.my untuk membaca artikel yang diterbitkan oleh JICT

Please publish modules in offcanvas position.