Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) melalui Jawatankuasa Risiko, Keselamatan dan Kesihatan SOC telah menganjurkan ceramah kesihatan yang disampaikan oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi, Afiat Wellness Sdn Bhd., Dr. Adibah Alawiah Abdul Razak bertajuk ‘Keradangan dan Kesannya Kepada Badan’.
Menurut Dr. Adibah Alawiah, pemakanan memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh badan seseorang terpelihara.
Menurutnya, tubuh badan yang sihat memerlukan zat makanan yang mencukupi seperti vitamin, kalsium, protein, Omega-3, mineral dan zat besi.
Beliau turut menekankan tentang kepentingan dalam mengurus kitaran tidur yang berjadual dan mendapat tidur yang mencukupi adalah penyumbang kepada tahap kesihatan yang ideal, selain kepentingan dalam mengawal tahap kolestrol dalam darah.
“Antara punca penyakit adalah disebabkan tabiat kerap memakan makanan yang diproses (processing foods) seperti makanan segera dan makanan dalam tin, penggunaan gula putih dalam minuman dan makanan yang berlebihan, pengambilan kafein yang tinggi, penggunaan garam yang berlebihan, penggunaan alkohol dan tubuh badan yang terlalu asidik.
“Selain itu, seseorang yang terdedah kepada tekanan (stress) yang melampau dan tabiat merokok juga turut menyumbang kepada kemerosotan tahap kesihatan untuk jangka masa panjang,” ujarnya.
Melalui perkongsian tersebut, peserta turut didedahkan dengan teknik ‘hormone diet’ atau pemakanan anti-radang (lebih dikenali sebagai Teknik HD). HD ialah pelan pemakanan sihat untuk merangsang hypothalamic-pituitary-adrenal axis (HPA).
HPA merupakan satu mekanisma pengawalan hormon-hormon penting dalam badan dan ianya bertanggungjawab untuk membantu fungsi utama tubuh manusia seperti sistem pencernaan, penggunaan tenaga dan penyimpanan lemak, sistem pertahanan badan, pengawalan emosi dan ‘stress’.
Pada program itu, peserta berpeluang menjalani ujian kesihatan secara percuma melalui ujian Body Composition Analysis (BCA), selain diberi pendedahan berkenaan Basal Metabolic Rate (BMR) iaitu pengiraan jumlah kalori yang dibakar oleh badan dalam keadaan rehat.