Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah menerima mobiliti staf selama lima hari daripada Prof. Dr. Jose R Porto Pedrido dari University of Santiago De Compostela (USC), Sepanyol bermula 25 Jun lalu.
Dekan SOC, Prof. Dr. Osman Ghazali berkata, kunjungan itu merupakan salah satu aktiviti program Erasmus Mobiliti Staf antara UUM melalui SOC dan USC.
Prof. Dr. Jose telah dijemput menyampaikan sesi kuliah dan perkongsian ilmu selama dua hari dengan ‘Sustainability of Digital Marketing’ yang telah dihadiri oleh staf dan pelajar UUM.
Dalam sesi perkongsian ilmu tersebut, Prof. Dr. Jose telah memperkenalkan, mendedahkan dan mengukuhkan pengetahuan staf dan pelajar UUM berkaitan kebaikan, kegunaan dan kepentingan pemasaran secara digital pada era masa kini.
Selain itu, latihan praktikal turut dilaksanakan dengan menggunakan alatan Google seperti Google trends, sebagai salah satu platform yang dapat mempromosikan sesuatu produk atau jenama.
Sepanjang berada di UUM, beliau berkesempatan melawat ke Anjung Tamu UUM, Muzium Pengurusan UUM serta melawat sekitar kampus dengan diiringi oleh Prof. Madya Dr. Mazni Omar, Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad dan Prof. Madya Dr. Husniza Husni.
Semasa sesi mobiliti staf ini berlangsung, satu perbincangan turut diadakan antara pihak SOC dengan Prof. Dr. Jose berkaitan potensi kolaborasi penyelidikan dan akademik yang melibatkan kedua-dua belah pihak.
Lawatan kebudayaan juga diadakan di sekitar bandar Alor Setar bagi memperkenalkan budaya tempatan, makanan tempatan, tempat menarik seperti muzium, Menara Alor Setar, Masjid Zahir dan Pekan Rabu.
Menurut Prof. Dr. Jose, beliau gembira dengan layanan yang diberikan oleh tuan rumah dan berasa bertuah dapat datang ke UUM di mana ia merupakan lawatan pertamanya ke bumi Sintok.
Tambah beliau lagi, kedua-dua universiti dapat memanfaatkan program mobiliti staf itu dengan berkongsi ilmu dan kepakaran selain memfokus kepada aktiviti penyelidikan berimpak tinggi dan pertukaran staf akademik.
“Saya juga berasa bertuah dapat menimba pengalaman disini, melawat tempat-tempat bersejarah, di samping dapat menikmati buah-buahan tempatan serta memahami budaya setempat,” katanya.