NEWS

School of Computing

LAPORAN PROGRAM KEM MOTIVASI & KERJAYA DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DATO’ WAN MOHD SAMAN ALOR SETAR

 

news smkdso

 

Pada tanggal 31 Januari dan 1 Februari 2023 telah berlangsung suatu program iaitu Kem Motivasi & Kerjaya yang telah dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Wan Mohd Saman (SMKDWMS), Alor Setar. Program ini merupakan program pertama di bawah siri program MEKAR di mana SMKDWMS merupakan “sekolah angkat” yang telah diamanahkan kepada SOC.

Program ini telah dihadiri oleh 100 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5 sekolah tersebut. Program ini adalah di bawah kelolaan Jawatankuasa Seminar dan Latihan (SOC) dengan dibantu oleh para fasilitator yang terdiri daripada sekumpulan kaunselor pelatih (SOC) dan kumpulan CS Fam (iaitu para pelajar Sarjana Muda Sains Komputer, UUM). Antara pengisian program tersebut adalah seperti aktiviti Kenali

Minat & Kerjaya, Terapi Teknik Relaksasi dan Permainan Raksasa dan Manusia. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi para pelajar khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Selain itu, program turut menjemput beberapa wakil agensi seperti Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Alor Setar, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra, Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Kolej Komuniti Bandar Darulaman. Setiap wakil agensi ini telah memberikan pendedahan umum berkenaan peluang untuk melanjutkan pengajian atau menyertai program- program latihan yang bersesuaian dengan kelulusan dan minat para pelajar apabila mereka tamat peperiksaan SPM nanti. Sesi perkongsian dari pelbagai agensi ini telah berjaya menarik minat para pelajar apabila mereka dilihat begitu teruja bertanyakan pelbagai soalan untuk mendapatkan informasi lanjut berkenaan peluang-peluang yang ada.

Salah seorang pelajar Tingkatan 5, bernama Ahmad Mukriz Zainuddin menyatakan minat beliau untuk menyambung pengajian di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dalam bidang automotif kerana telah lama menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang mekanik. Beliau beranggapan program seumpama ini sangat bertepatan dengan masa dan situasi memandangkan beliau telah mendapat pendedahan yang diperlukan untuk membuat persiapan yang sewajarnya bagi mencapai cita-cita beliau. Pendapat yang sama turut dikongsikan oleh Puan Che Azeawati selaku guru kaunseling SMKDWMS di mana beliau amat mengalu-alukan program seumpama ini diadakan di sekolah bagi memangkin semangat para pelajar agar dapat melakukan yang terbaik di dalam peperiksaan SPM yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Kem Motivasi dan Kerjaya ini telah dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran, Prof. Dr. Ts. Azham Husain. Menurut beliau, SOC bertekad untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama dengan pihak sekolah dengan tujuan untuk merapatkan jurang antara para cendiakawan di menara gading dengan komuniti setempat. Menurut beliau lagi, program seumpama ini tidak akan terhenti di sini sahaja, malah akan ada siri yang kedua menyusul selepas ini apabila para pelajar memperoleh keputusan peperiksaan mereka kelak. Kesinambungan program seumpama ini amat penting bagi memastikan impak dan keberkesanan program ini dapat direalisasikan.

Kemuncak program ini adalah acara penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik yang telah memberikan komitmen yang cemerlang sepanjang program berlangsung. Acara penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Puan Azizah Mahmood, Penolong Kanan Pentadbiran SMKDWMS. Pihak sekolah juga telah bermurah hati memberikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada setiap fasilitator yang terlibat. Program telah berakhir sekitar jam 1.30 petang di mana semua peserta program telah dijamu nasi tomato sebagai menu makan tengah hari sebelum bersurai pulang.

Please publish modules in offcanvas position.