EVENTS

School of Computing

BEI MUIJ UNIVERSITI (JOM MASUK UNIVERSITI)

 

PROGRAM EXPLORASI IOT BERSAMA KOMUNITI ORANG ASLI CAMERON HIGHLANDS
“BEI MUIJ UNIVERSITI – JOM MASUK UNIVERSITI”

Bei Muij

 

Institut for Advanced and Smart Digital Opportunities (IASDO), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Cameron Highlands, dan SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Pahang (PPDCH) telah berjaya mengadakan Program Bei Muij Universiti Bersama Pelajar Orang Asli Tingkatan 6 bermula 15 Mei hingga 30 Ogos 2022. Program ini dijalankan dalam beberapa fasa dan melibatkan aktiviti seperti program cerah kesedaran, aktiviti kupulan kecil, pemantau kesan sebelum serta pemantauan kesan selepas program.

Dalam fasa 1 program, seramai 14 orang terlibat ke program tersebut iaitu staf, pelajar pasca-siswazah dan pelajar sarjana muda dari Pusat Pengajian Pengkomputeran bagi memberi pendedahan teknologi maklumat yang luas kepada komuniti luar bandar. Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan tentang institusi pengajian tinggi kepada pelajar orang asli SMK Sultan Ahmad Shah disamping mempromosikan Pusat Pengajian Pengkomputeran, Universiti Utara Malaysia.

Pada fasa 1, 26 Mei 2022 (Khamis), seramai 4 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar ijazah sarjana muda telah mengendalikan program “Bei Muij Universiti” yang disertai oleh 29 orang pelajar Tingkatan 5 daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands. Program ini bermula pada jam 10:30 pagi dengan sesi perkenalan diri dan perkongsian pengalaman sepanjang berada di Universiti oleh fasilitator. Setiap fasilitator menyampaikan perkongsian yang berbeza kepada pelajar-pelajar tersebut.

Perkongsian pertama telah disampaikan oleh Pitri Yeni binti Azwar berkaitan Universiti Utara Malaysia. Pitri Yeni berkongsi tentang kemudahanan-kemudahan yang tersedia di Universiti Utara Malaysia selain mempromosikan Pusat Pengajian Pengkomputeran. Perkongsian seterusnya disampaikan oleh Nurul Huda binti Abd Aziz yang berkaitan dengan bidang Teknologi Maklumat (IT). Perkongsian ini memberi pendedahan awal yang lebih terperinci kepada pelajar-pelajar tentang bidang Teknologi Maklumat (IT) di Universiti Utara Malaysia. Manakala perkongsian ketiga pula disampaikan oleh Nurul Farzana Anis binti Ahmad berkaitan dengan bidang Multimedia dan Komunikasi di Universiti Utara Malaysia. Terdapat pelajar daripada SMK Sultan Ahmad Shah yang mengambil aliran mata pelajaran Multimedia di sekolah dan melalui perkongsian daripada bidang ini juga dapat menarik minat mereka kepada mata pelajaran Multimedia. Di samping itu, perkongsian ini juga membantu pelajar-pelajar untuk lebih yakin dengan asas pengetahuan Multimedia yang sedia ada di sekolah untuk melanjutkan pelajaran di institusi tinggi pada masa akan datang. Perkongsian yang terakhir untuk program ini adalah “Cabaran dan Halangan untuk Berjaya” yang disampaikan oleh Syazatul Natrah binti Abdul Rahman. Perkongsian ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar untuk lebih fokus pada sesuatu yang mereka minat serta dapat membuat keputusan untuk kehidupan mereka pada masa akan datang. Sesi perkongsian ini memberi penerangan tentang cabaran dunia pekerjaan semasa, cara merebut peluang pekerjaan yang ada, kualiti yang perlu ada dalam setiap pelajar supaya mendapat pekerjaan yang lebih baik, perbezaan dunia seorang pelajar dan sebagainya. Kata-kata nasihat dan motivasi diberikan kepada para pelajar supaya lebih bersedia untuk menempuh alam universiti mahupun alam pekerjaan pada masa akan datang. Oleh itu, minda para pelajar lebih terbuka mengenai kepentingan melanjutkan pelajaran ke institusi tinggi melalui perkongsian Bei Muij Universiti ini. Selain itu, sesi soalan jawab turut diadakan di sepanjang perkongsian.

Pada jam 1:30 petang, para pelajar, Pegawai PPD Cameron Highlands dan fasilitator berkumpul untuk majlis penutupan dan pemberian cenderahati kepada pihak sekolah dan pegawai yang hadir. Sebagai kesimpulannya, program ini berjalan dengan lancar dan objektif utama program ini dapat dicapai. Diharapkan agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang kerana program seperti ini sangat membantu para pelajar untuk menempuhi alam universiti kelak.

Disediakan oleh:
Institute for Advanced and Smart Digital Opportunities (AISDO), 2022

Please publish modules in offcanvas position.