Previous Next

Kunjungan Delegasi daripada MIMOS Berhad

UUM ONLINE: Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani telah menerima kunjungan hormat delegasi daripada MIMOS Berhad diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Rizan Ibrahim bersama lima pegawai kanan MIMOS semalam.

Kunjungan susulan ini bertujuan berbincang mengenai kerjasama penyelidikan untuk membantu Kerajaan Negeri Kedah dari segi peluang Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) untuk membawa Kedah ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain pertemuan dengan Naib Canselor, penyelidik UUM turut mengadakan demo pembentangan projek penyelidikan di Bilik Mesyuarat Canselori berkaitan projek melibatkan Data analytics, Internet of Things (IoT), Augmented Reality/Virtual Reality dan Papan Sintok untuk Kanak-kanak Disleksia.

Perbincangan itu melibatkan Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran (SoC), Prof Dr Huda Ibrahim; Pengarah Institute for Advanced and Smart Digital Opportunities (IASDO), Prof Madya Dr Azizah Ahmad dan Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof Madya Dr Mohd Sobri Don.

Di akhir perbincangan ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menjalankan projek data science, smart agriculture, Augmented Reality/Virtual Reality untuk Kedah Tua, pengurusan banjir dan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk pelajar lepasan sekolah.

Kedua-dua pihak juga telah bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa terdekat.

Ahmad Rizan berkata, UUM dipilih kerana mempunyai kepakaran dan tenaga akademik yang terlatih untuk melaksanakan program kerjasama berkenaan.

Turut serta dalam perbincangan kolaborasi ini adalah Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Dr Ahmad Hisham Zainal Abidin; dan penyelidik lain yang terlibat.

Institute For Advanced and Smart Digital Opportunities, School of Computing, Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah Darul Aman