Sesi bersama Pusat Pengajian sempena Minggu Suaikenal Semester Kedua Sesi 2024/2025 (A242) telah berlangsung dengan jayanya pada 12 Mac 2025, dari jam 8.30 pagi hingga 11.00 pagi secara atas talian.
SOC menerima seramai 14 pelajar baharu yang terdiri daripada kemasukan saluran terbuka, pelajar antarabangsa, dan program mobiliti. Dalam ucapan aluan, Dekan SOC, Prof. Dr. Osman bin Ghazali, mengalu-alukan kehadiran para pelajar baharu dan menzahirkan harapan agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam komuniti akademik SOC.
Beliau turut menekankan kepentingan kecemerlangan akademik serta penglibatan aktif dalam aktiviti universiti bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran. Selain itu, beliau menggalakkan pelajar untuk memanfaatkan kemudahan dan sokongan yang disediakan oleh fakulti bagi memastikan perjalanan akademik mereka berjalan dengan lancar dan berjaya.
Sesi ini turut diserikan dengan taklimat akademik yang disampaikan oleh dua penyelaras program, iaitu Prof. Madya Ts. Wan Hussain Wan Ishak, Pengerusi Program B.Comp.Sc, dan Dr. Wan Aida Nadia Binti Wan Abdullah, Pengerusi Program BSc.IT. Mereka memberikan penerangan mengenai struktur program serta hala tuju akademik bagi membantu pelajar memahami bidang pengajian mereka dengan lebih baik.
Selain itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli bin Zolkipli, turut mengendalikan sesi interaktif bagi memperkenalkan perkhidmatan universiti dan peluang yang tersedia kepada pelajar. Sesi ini memberi ruang kepada pelajar untuk mengenali lebih lanjut mengenai SOC serta menyuarakan sebarang persoalan berkaitan pengalaman pembelajaran mereka.
Dengan pengisian yang komprehensif, sesi ini berjaya memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu mengenai kehidupan akademik dan peluang pembangunan diri di SOC.