11 Januari 2025, Common Ground, Jaya One, Kuala Lumpur – Seramai lima orang peserta dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan GODAMLah! Hackathon dengan membawa nama kumpulan MyLittlePony. Pertandingan ini bertujuan untuk menyatukan pasukan pelbagai disiplin bagi meneroka dan membangunkan penyelesaian inovatif dalam meningkatkan keselamatan siber serta memastikan navigasi digital yang selamat.
Pasukan pelajar ini berjaya merangkul tempat keempat dalam pertandingan tersebut.
Para peserta dinilai berdasarkan hasil dan produk yang telah dibangunkan, penyampaian terbaik, penyelidikan terperinci terbaik, serta kerja berpasukan yang menunjukkan dedikasi dan kecerdikan tinggi.
Salah seorang peserta dari kumpulan MyLittlePony menyatakan bahawa peluang untuk menyertai hackathon ini adalah pengalaman yang sangat berharga. “Kami sangat teruja dan bersyukur kerana terpilih sebagai finalis. Pertandingan ini bukan sahaja menguji kemahiran teknikal kami, tetapi juga memerlukan strategi, kreativiti, dan kerja berpasukan yang kukuh,” katanya.
Pertandingan GODAMLah! Hackathon dijangka menjadi pentas untuk inovasi dan kolaborasi terbaik dalam bidang keselamatan siber, dengan para finalis bersaing untuk menghasilkan penyelesaian yang dapat memberikan impak besar dalam dunia digital.
Tahniah diucapkan kepada pasukan MyLittlePony dari UUM!