UUM ONLINE: Kuala Lumpur – Sejajar dengan perkembangan teknologi kini dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), penguasaan dalam bidang teknologi dilihat memberi manfaat cukup besar dalam kehidupan manusia hari ini.
Tidak ketinggalan dunia pendidikan yang turut menerima impak besar hasil perkembangan tersebut, justeru, bagi meningkatkan kemahiran staf dan pelajar seiring dengan kecanggihan dunia teknologi khususnya Internet of Thing (IoT) dan perincian dataraya atau big data analytics, UUM telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ingeniworks Sdn. Bhd.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad berkata, bidang pengajian di UUM khususnya dalam bidang Teknologi Maklumat telah diiktiraf di dalam dan di luar negara.
Malah, menurutnya, graduan program Teknologi Maklumat juga telah mendapat permintaan tinggi daripada industri dan lebih daripada 60 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam bidang Sains Komputer dan Sains Maklumat dalam tempoh enam bulan selepas tamat belajar.
Katanya, UUM memilih Ingeniworks Sdn. Bhd. sebagai salah satu rakan kolaborasi strategik dengan tujuan untuk meningkatkan aktiviti dan inisiatif keterlibatan pihak industri dengan universiti dalam tiga aktiviti teras utama universiti iaitu penyelidikan, pendidikan dan khidmat secara berterusan.
“Hubungan kerjasama antara UUM dengan Ingeniworks Sdn. Bhd. secara kondusif, produktif dan lestari dilihat dapat memenuhi keperluan dan memberi faedah kepada kedua belah pihak khususnya dan negara amnya.
“Menerusi kolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk Ingeniworks Sdn. Bhd., dapat mengukuhkan lagi pelaksanaan Pelan Pengukuhan Kerjasama Universiti-Industri-Masyarakat yang menggariskan beberapa mekanisme dan amalan terbaik bagi membudayakan hubungan erat dan kerjasama strategik di antara universiti, industri dan juga dengan masyarakat,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara UUM dan Ingeniworks Sdn. Bhd. di EDC Hotel, semalam.
Majlis tersebut menyaksikan beliau yang mewakili Naib Canselor telah menandatangani Mou bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ingeniworks Sdn. Bhd., Nazli Awang Had.
Prof. Dr. Ayoib berkata, selepas pelaksanaan MoU ini, UUM merancang untuk mengubah suai makmal di Institute for Advanced and Smart Digital Opportunities (IASDO) di Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) sedia ada dan dijenamakan semula dengan Sensor and Application Innovation Centre (SONIC), selain mengadakan bengkel latihan kepada pelajar dan staf dalam bidang data analytics serta aplikasi IoT.
Menurutnya, semoga koloborasi dan perkongsian pintar yang sedia wujud ini mampu memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat, sekali gus merealisasikan falsafah pendemokrasian pendidikan dalam erti kata yang sebenarnya.
“Tahniah kepada SOC yang sentiasa komited dalam memastikan program akademik yang ditawarkan relevan dengan kehendak pasaran pekerjaan dan industri yang kini berada dalam era IR4.0.
“Saya amat berharap pemeteraian MoU ini akan merancakkan bidang-bidang kerjasama sedia ada, di samping menjana bidang kerjasama baharu yang memberi impak dan manfaat kesejahteraan hidup serta menjana kekayaan baharu,” katanya.
Sementara itu, Nazli Awang Had berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak kerana telah menjayakan majlis tersebut sehingga Ingeniworks Sdn. Bhd. dan UUM berjaya memeterai MoU itu.
UUM menerusi SOC bersama IASDO dan MSD Digital Intelligence terutama anak syarikatnya iaitu Ingeniworks Sdn. Bhd. telah mengadakan pelbagai aktiviti seperti perbincangan meja bulat, menjalankan analisis data, penulisan dan penerbitan artikel tentang data analytics.