Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) yang diketuai oleh Prof. Dr. Huda Hj Ibrahim, Dekan SOC telah mengadakan satu lawatan kerja ke Fakulti Sains, Prince of Songkla University, Hatyai Thailand pada 16 Mac 2018 yang lalu.
Kehadiran pasukan SOC disambut mesra oleh Dr Jarutas Pattanaphanchai, Ketua Program Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Dr Suthira Plansangket, Ketua Program Teknologi Maklumat (IT) bertempat di Bangunan Sains Asas, Fakulti Sains PSU, Hatyai.
Selain mengeratkan hubungan antara institusi, lawatan ini juga membincangkan program akademik, pertukaran pelajar, peluang jalinan kolaborasi penyelidikan dan persidangan bersama serta perbincangan awal mengenai lawatan pihak pengurusan tertinggi UUM ke Thailand pada bulan Jun 2018 nanti.
Dalam lawatan tersebut, pihak SOC juga telah membentangkan cadangan kolaborasi dalam program akademik oleh Dr Hasbullah Omar, Ketua Jabatan SOC. Pembentangan penyelidikan bagi tujuan matching grant juga telah dibentangkan oleh Prof Madya Dr Azizah Ahmad, Pengarah SCoE Institute for Advanced and Smart Digital Opportunities (IASDO).
Pihak SOC juga mempromosi dan menjemput pihak PSU untuk menghadiri persidangan dan program anjuran SOC seperti Pameran Innovative Research, Invention and Application Exhibition 2018 (I-RIA), Persidangan Knowledge Management International Conference 2018 (KMICe) dan program lain yang akan datang. Pertemuan ini juga telah membuka ruang untuk PSU dan SOC berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang serta projek berkaitan Smart Digital Opportunities dan Data Analytics dan sebagainya.
Turut hadir bersama dalam perbincangan ini adalah Asst. Prof. Dr. Nararak Leesakul, Penolong Dekan Hubungan Antarabangsa PSU; Asst. Prof. Thakerng Wongsirichot, Penolong Presiden bagi Media Pendidikan dan Pengajaran Pembangunan PSU serta pengurusan SOC iaitu Prof Madya Dr Osman Ghazali, Timbalan Dekan SOC serta pegawai-pegawai SOC.
Sekian, terima kasih.