NEWS

School of Computing

SOC ANJUR FOOD CARNIVAL 2023 DAN PROGRAM KESELAMATAN DAN KESIHATAN DI TEMPAT KERJA

 

KeselamatanSOC

 

Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) UUM CAS dengan kerjasama Jawatankuasa Keusahawanan Pelajar SOC dan Jawatankuasa Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan SOC telah menganjurkan Program Food Carnival dan Program Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja pada 25 hingga 26 Oktober 2023 yang lalu. Pelbagai pempamer yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, badan amal dan kumpulan pelajar serta usahawan mikro turut terlibat dalam program ini.

Antara aktiviti yang menarik perhatian para pengunjung adalah seperti demontrasi penyelamatan dari tempat tinggi (Rope Rescue Operating System) pada hari pertama dan demontrasi kemahiran menangkap ular pada hari kedua oleh pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Di samping itu, penglibatan agensi kerajaan seperti Hospital Kuala Nerang dan Hospital Sultanah Bahiyah yang telah mengendalikan program derma darah, wakil Balai Bomba Bukit Kayu Hitam dengan sokongan pameran pelbagai peralatan kecemasan yang disediakan di dalam kenderaan bomba, perkongsian mengenai insurans oleh pihak Prudential BSN, Pelan CelcomDigi kepada penjawat awam, jualan amal pre-loved Palestine, Dashing dan Echanteur turut memeriahkan lagi program ini. Program ini turut memberi peluang kepada usahawan mikro untuk terlibat menjayakan program.

Pihak SOC berharap agar program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai betapa pentingnya mendahulukan aspek keselamatan dan kesihatan selain menggalakkan semua pihak termasuk majikan dan pekerja dalam usaha memastikan tempat kerja kekal persekitaran yang selamat dan kondusif.