NEWS

School of Computing

SOC Tambah Kemudahan Untuk Keselesaan Pelajar

 

newskemudahan

 

SINTOK: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) khususnya di Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) kini akan lebih selesa dengan penambahan kemudahan yang disediakan pusat pengajian tersebut bermula Semester A222.

Antara kemudahan yang disediakan adalah seperti penyediaan 10 unit kipas dinding dan penyediaan mesin penapis air di Foyer SOC, selain mewujudkan tiga kiosk keusahawanan untuk aktiviti jualan berhampiran dengan DKG 4, Bangunan SOC.

Menurut Dekan SOC, Prof. Ts. Dr. Azham Hussain, semua kemudahan yang disediakan ini dapat membantu menjadikan persekitaran bangunan SOC menjadi lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP), selain dapat meningkatkan tahap kepuasan pelajar.

“Kiosk keusahawanan SOC yang dikenali sebagai ‘SOC BitBytes‘ juga bakal menawarkan produk-produk jualan berasaskan makanan bermula selepas cuti Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar Semester 6, Sarjana Muda Sains (Teknologi Maklumat), Dayangku Nursyaqillah Mamat berkata, dia memaklumkan bahawa kemudahan yang disediakan oleh pihak SOC ini sememangnya dapat membantu pelajar untuk berehat sementara menunggu waktu kelas.

Perkara itu turut disokong pelajar Semester 6, Sarjana Muda Sains (Teknologi Maklumat), Azrul Hakimi Ab Raman yang mengakui bahawa kemudahan disediakan sememangnya dapat membantu memudahkan mereka untuk berehat sambil menikmati minuman, selain dapat mengulang kaji pelajaran dengan lebih selesa lagi.

Kemudahan kipas dinding merupakan sumbangan daripada staf SOC, manakala kiosk keusahawanan pula adalah dari sumbangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM).