NEWS

School of Computing

MAJLIS APRESIASI SOC 2022 HARGAI SUMBANGAN STAF

 

beritaApresiasi2022

 

UUM ONLINE: Bagi menghargai sumbangan dan komitmen staf, Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah menganjurkan Majlis Apresiasi SOC Tahun 2022 di Dewan Angsana, EDC-UUM, baru-baru ini.

Dekan, Prof. Ts. Dr. Azham Hussain berkata, tujuan majlis itu diadakan adalah bagi menghargai segala sumbangan staf dan meraikan pencapaian pusat pengajian tersebut sepanjang 2022.

Antara pencapaian membanggakan yang telah diraih SOC adalah dinobatkan sebagai Pusat Pengajian Terbaik pada Majlis Anugerah Jaya Universiti (Anugerah Kecemerlangan Pelan Strategik 2022), menerima Anugerah ‘Cyber Security Outreach Provider of the Year’ oleh CyberSecurity Malaysia pada Majlis Malaysia Cyber Security Awards 2022, kejayaan penyelidik SOC dalam meraih geran FRGS KPT, meraih pingat emas dalam PECIPTA 2022, merangkul naib johan Pertandingan KIK Peringkat UUM dan terpilih sebagai finalis dalam Anugerah Inovasi Pengajaran (ITA) 2022.

Di samping itu, Majlis Apresiasi itu juga turut meraikan pemenang bagi 15 anugerah berkaitan akademik dan 10 anugerah bukan akademik yang disampaikan oleh Dekan SOC.

Antara anugerah yang telah disediakan adalah seperti Anugerah Kecemerlangan SOC, Anugerah Pengajaran Terbaik, Anugerah Penyeliaan Terbaik, Anugerah Penyelidikan Terbaik, Anugerah Penyelidik Proaktif, Anugerah Penulis Prolific, Anugerah Perekacipta Terbaik, Anugerah Projek Khidmat Masyarakat Terbaik dan sebagainya.

Majlis yang dirasmikan Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Madya Dr. Mazni Omar itu dimeriahkan dengan aktiviti cabutan bertuah dan pertandingan pakaian tercantik.