NEWS

School of Computing

FIRE DRILL - SOC CEGAH SEBELUM TERKENA

 

beritafiredrill

 

SINTOK: Lebih baik ambil langkah persediaan awal, sebelum terjadi.

Atas kesedaran itu, Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah mengadakan program Keselamatan dan Kesihatan Warga SOC 2023 di pekarangan bangunan SOC, baru-baru ini.

Program ini melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan kesihatan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Hospital Sultanah Bahiyah, Bulan Sabit Merah Negeri Kedah, Wellesta Truelife Sdn Bhd (syarikat berteraskan produk kesihatan) dan sebagainya.

Antara pengisian program adalah aktiviti latihan kebakaran dan taklimat pencegahan kebakaran dan menyelamat oleh JBPM Bukit Kayu Hitam.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, Zulkifli Manaf, demonstrasi ‘fire drill’ ini sangat penting bagi sesebuah organisasi termasuk jabatan kerajaan di mana pengetahuan berkenaan pencegahan kebakaran dan pengawalan kebakaran adalah penting bagi memastikan tiada korban nyawa yang berlaku sekiranya berlaku sesuatu kebakaran di dalam sesuatu premis.

Beliau juga turut berpesan agar semua warga UUM khususnya di SOC perlu bertindak pantas dengan menghubungi balai bomba terdekat sekiranya berlaku kebakaran dan pentingnya mengetahui nombor telefon balai bomba berhampiran.

Katanya lagi, alat pemadam api atau ‘fire extinguisher‘ juga wajib ada dan diselenggara mengikut jadual. Alat pemadam api ini (fire extinguisher) perlu dipantau dari segi tarikh luput dan memastikan gas didalam silinder mencukupi.

Selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, program ini juga melibatkan kehadiran pempamer yang lain seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang memberi taklimat dan demo berkenaan peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa operasi, pameran berkenaan bantuan kecemasan seperti teknik bantuan penafasan – Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) oleh Bulan Sabit Merah Negeri Kedah, program derma darah yang dikendalikan oleh Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan taklimat penggunaan dan jualan alat pemadam api oleh syarikat NR Fire Engineering.

Di samping itu, syarikat berteraskan kesihatan, Wellesta Truelife juga turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma selain jualan produk-produk kesihatan. Program ini telah dihadiri oleh pelajar dan staf SOC termasuk warga kampus yang lain.