NEWS

School of Computing

PROGRAM LITERASI DIGITAL BERSAMA SUKARELAWAN ICT MALAYSIA (MIV): MEMACU AGENDA PEMBANGUNAN MAMPAN DALAM KESAKSAMAAN GENDER

 

31 OKTOBER 2021, AHAD | 24 RABIULAWAL 1443H

 

SOCNews311021

 

Pada 28 Oktober 2021 (Khamis), satu program literasi digital bersama sukarelawan ICT Malaysia telah berjaya diadakan hasil kerjasama Institute for Advanced and Smart Digital Opportunities (IASDO), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Majlis Gabungan Persatuan Wanita Kedah (WANIDA), Pusat Internet Komuniti, serta Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC). Program yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi platform Webex ini telah berjaya menarik minat seramai kira-kira 70 orang peserta daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bola Jaring Kedah, Persatuan Orang Pekak Kedah, Persatuan Gabungan Wanita Kedah, PUSPANITA, Persatuan Keperihatinan dan Kebajikan Masyarakat Kedah, Baitus Sakinah, Persatuan Ibu Tunggal, dan banyak lagi.

Perasmian program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Suraya Yaacob, selaku Pengerusi WANIDA. Menerusi ucapan perasmian, beliau telah menekankan bahawa peri pentingnya pendedahan terhadap literasi digital diberikan kepada golongan wanita dalam era digital kini. Hal ini kerana, statistik menunjukkan bahawa jenayah siber telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit, dan ironinya sejumlah besar mangsa adalah terdiri daripada golongan wanita tanpa mengira peringkat usia. Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa program sebegini harus diteruskan dan WANIDA amat berharap agar dapat meneruskan kerjasama dengan SOC dalam memperkasakan golongan wanita.

Program yang dilaksanakan ini adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Teras ke-5: Kesaksamaan Gender iaitu untuk memberi kesedaran dan meningkatkan ilmu pengetahuan ICT serta literasi digital dalam kalangan komuniti khususnya golongan wanita di Kedah. Program ini juga adalah sebahagian daripada aktiviti penyelidikan oleh kumpulan penyelidik SOC yang telah dipertanggungjawabkan oleh pihak MCMC bagi menjalankan kajian bertajuk An Impact Study of Malaysian ICT Volunteers (MIV) Program. Melalui program ini, sesi perkongsian telah disampaikan oleh tiga orang sukarelawan daripada ICT MIV. Sukarelawan tersebut ialah Puan Hayati binti Rejab yang menyampaikan ceramah yang bertajuk Check Your Label, Puan Nor Zuriati binti Rejab pula berkongsi tentang Oversharing dan yang terakhir ialah ceramah yang bertajuk Love Scam yang disampaikan oleh Pn. Wan Suriyani binti Wan Senu.

Penerangan tentang kepentingan menggunakan peranti eletronik yang diperakukan oleh MCMC telah disampaikan dengan jayanya menerusi sesi Check Your Label. Puan Hayati menerangkan secara terperinci tentang cara-cara menyemak status peranti dengan menggunakan aplikasi Check your Label dan laman web yang disediakan oleh pihak MCMC. Seterusnya, melalui sesi Oversharing, Puan Nor Zuriati menerangkan pelbagai risiko yang mungkin berlaku akibat perkongsian yang berlebihan di alam maya. Beliau juga berkongsi Tips 5W 1H bagi mengelak berlakunya oversharing. Manakala pada sesi terakhir, Love Scam pula memberi penerangan tentang bahaya jerat percintaan dalam talian yang menjurus kepada banyak kes penipuan dan jenayah. Puan Wan Suriyani turut berkongsi dan memberi panduan kepada ibu bapa berkaitan tatacara penggunaan Internet dengan selamat bagi anak-anak. Ketiga-tiga sesi tersebut diharapkan dapat membantu meningkatkan kesedaran berkaitan penggunaan peranti dan Internet secara selamat khususnya dalam kalangan wanita.