All demo content is for sample purposes only, intended to represent a live site. All content images are licensed from their respective sources for exclusive use on this demo only.

Thursday 23 November 2017

Icoci

25 APRIL 2017 / 28 REJAB 1438H
============================

"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
(THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

UUM ONLINE: Sepang - Mengangkat tema 'Embracing E-co Friendly Computing', International Conference on Computing and Informatics (ICOCI) 2017 terus memperlihatkan komitmen UUM untuk memperkembangkan teknologi pengkomputeran hijau dalam usaha membantu Malaysia mencapai taraf negara maju.

Persidangan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 27 April itu menghimpunkan lebih 100 ahli akademik dari dalam dan luar negara, penyelidik dan penggiat industri dalam bidang teknologi dan pengkomputeran hijau.

Majlis perasmian ICOCI 2017 anjuran Pusat Pengajian Pengkomputeran (SoC) itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak di Hotel Sama-Sama, pagi ini.

Beliau berkata, tema yang berbeza setiap kali penganjuran ICOCI adalah relevan dengan keadaan semasa dalam bidang pengkomputeran dan teknologi.

Menurutnya, persidangan itu merupakan satu inisiatif yang bijak yang menggalakkan penyelidikan tempatan dan pembangunan di peringkat antarabangsa.

Katanya, menyedari pembangunan teknologi menelan kos yang tinggi, kita sepatutnya tidak boleh ketinggalan dan pastikan semua orang mendapat faedah dari teknologi tersebut.

"Pada masa sama, keindahan kampus UUM yang dijenamakan menerusi tagline “Universiti di Rimba Hijau” menjadi inspirasi tema persidangan ICOCI pada tahun ini.

"Kampus hijau ini juga boleh diperluaskan untuk merangkumi lain-lain aspek teknologi yang 'Green Computing' dan UUM melihat bahawa tema persidangan ini adalah penting kepada kita dan seluruh dunia," ujarnya yang turut menyampaikan anugerah kertas kerja terbaik pada majlis perasmian itu.

Naib Canselor berkata, pengkomputeran hijau adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada penggunaan sumber yang cekap dalam pengkomputeran iaitu berkaitan dengan penggunaan sumber-sumber pengkomputeran untuk meminimumkan kesan alam sekitar, sekali gus memaksimumkan keupayaan ekonomi serta meningkatkan kehidupan sosial.

Ujarnya lagi, beliau yakin bahawa kertas kerja yang dibentangkan dalam persidangan ini akan dapat menyumbang ke arah usaha untuk mengamalkan pengkomputeran hijau yang menjadi tanggungjawab bersama.

Menurutnya, kertas kerja berkualiti tinggi tersebut akan diindeks oleh ISI yang secara tidak langsung juga akan membantu meningkatkan ranking universiti para penyelidik terlibat dan juga kepada indeks penerbitan peribadi mereka.

Sementara itu, Pengerusi ICOCI 2017, Prof Dr Ku Ruhana Ku Mahamud berkata, ICOCI 2017 menawarkan saluran yang bernilai untuk para pembentang dan peserta untuk bertukar idea dan bersama-sama terlibat dalam menerokai teknologi terkini serta isu-isu semasa bersesuaian dengan tema persidangan edisi kali ke-6 ini sejak tahun 2006.

Ujarnya, lebih 100 kertas kerja diterima pihaknya yang akan dibentangkan sepanjang persidangan berlangsung melibatkan pembentang tempatan dan antarabangsa.

Katanya lagi, ICOCI 2017 adalah persidangan yang dianjurkan dua tahun sekali oleh SoC dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Hadir sama Prof Madya Dr Huda Ibrahim, Penolong Naib Canselor UUM CAS merangkap Dekan SoC dan pengucaptama, Dr Mazlan Abbas dari FAVORIoT serta Kiyotoshi Kuwae dari Okinawa Open Laboratory Jepun