All demo content is for sample purposes only, intended to represent a live site. All content images are licensed from their respective sources for exclusive use on this demo only.

Thursday 23 November 2017

SOC telkom

02 FEBRUARI 2017 / 05 JAMADILAWAL 1438H
======================================="UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
(THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)


SOC ONLINE: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) Universiti Utara Malaysia (UUM) melebarkan sayap kepakarannya ke persada antarabangsa dengan menjalinkan kerjasama penyelidikan dengan Universitas Komputer Indonesia (UNIKOM) dan Universitas Telkom (TELKOM), Indonesia.

Delegasi penyelidik SOC yang diketuai oleh Dekan SOC merangkap Penolong Naib Canselor (PNC) UUM CAS, Prof. Madya Dr. Huda Hj Ibrahim, Prof. Madya Dr Azman Yasin, Dr. Mazida Ahmad dan Dr. Mazni Omar telah mengadakan pertemuan dengan para penyelidik di kedua-dua universiti ini di Bandung, Indonesia pada 20 Januari lalu.

Perbincangan penyelidikan ini adalah susulan daripada kerjasama Memorandum Perjanjian (MoA) yang telah dimeterai oleh UUM dan UNIKOM serta TELKOM pada Mac 2016 lalu.

Ketibaan para penyelidik SOC telah disambut mesra oleh Prof. Dr. Aelina Surya, wakil Rektor III Bidang Kerjasama dan Kemahasiswaan UNIKOM dan para penyelidik UNIKOM yang diketuai oleh Dr. Herman S. Soegoto, Dr. Yeffry Handoko, Dr. Deden A. Wahab, Dr. Rahma Wahdiniwaty dan Dr. Yusrila Kerlooza.

Agenda utama perbincangan adalah berkisar tentang keberkesanan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan para usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, penyelidik juga membincangkan tentang kaedah pendekatan ‘big data’ untuk menganalisis tingkah laku pengguna dalam pembelian barangan secara atas talian.

Penyelidik SOC seterusnya mengadakan perbincangan dengan penyelidik TELKOM yang diketuai oleh Dr. Gadang Ramantoko dan Herry Irawan.

Penyelidikan ini merupakan kajian perbandingan yang mengkaji impak perkongsian maklumat menerusi penggunaan sistem e-Procurement di kalangan agensi kerajaan di kedua-dua negara.

Para penyelidik menunjukkan kesungguhan dan keyakinan bahawa penyelidikan yang dijalankan mampu menghasilkan output yang berimpak tinggi dan dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara amnya.

Lawatan satu hari ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyelidik SOC dengan bukan sahaja membincangkan potensi aktiviti MoA berkaitan penyelidikan dengan Universitas Padjadjaran (UNPAD) dan Universitas TELKOM, malah perbincangan juga meliputi perancangan program ‘double degree’, mobiliti pelajar dan pensyarah.

Kerjasama yang dijalinkan ini menyerlahkan kepakaran para penyelidik SOC serta membuktikan kesungguhan SOC untuk mempromosikan bidang kepakaran UUM di peringkat antarabangsa.